Showing posts with label koleksi kisah hasan al-basri. Show all posts
Showing posts with label koleksi kisah hasan al-basri. Show all posts

Wednesday, December 5, 2012

KISAH HASAN AL-BASRI (4)

Kisah Hasan al-Basri dengan Jiran Nasrani
 
Dikisahkan, Hasan al-Basri memiliki jiran Nasrani yang memilki bilik kecil di atas loteng rumahnya. Oleh kerana atap rumah keduanya bersambung menjadi satu, maka air kencing yang berasal dari bilik kecil tetangganya itu mengalir dan menitis ke dalam bilik Hassan al-Basri. Melihat demikian, beliau terus bersabar dan tidak menjadikannya satu masalah. Beliau menyuruh isterinya meletakkan bekas untuk menadah titisan air kencing itu agar tidak mengalir ke mana-mana.

Selama dua puluh tahun perkara itu berlarutan dan Hassan al-Basri tidak mengatakan atau memberitahu mengenainya. Dia benar-benar ingin mengamalkan sabda Rasulullah saw: "Sesiapa yang beriman pada ALLAH dan hari akhirat, maka muliakanlah jiran tetangganya".

Suatu hari, Hassan al-Basri sakit. Jiran Nasraninya itu datang untuk menziarahinya.Dia merasa aneh ketika melihat ada air menitis dari atas bilik si imam. Dia melihat dengan teliti titisan air yang terkumpul dalam bekas.ternyata, itu air kencing.Dia terus faham bahawa air kencing yang mengalir tersebut berasal dari bilik kecil yang berada di atas loteng rumahnya. Dan yang membuatnya bertambah hairan, mengapa Hassan al-Basri tidak memberitahunya?

"Imam, sejak bila kamu bersabar dengan titisan air kencing kami ini?" tanya si jiran.Hassan al-Basri diam. tidak menjawab.Beliau tidak mahu jiran tetangganya berasa tidak selesa.
"Imam,katakanlah dengan jujur, sejak bila kamu bersabar dengan titisan air kencing kami ini?jika kamu tidak katakan, maka kami akan berasa sangat tidak selesa.,"desak tetangganya.
"Sejak dua puluh tahun yang lalu,"jawab Imam Hassan al-Basri dengan suara yang parau.
"Mengapa kamu tidak memberitahuku?"
"Nabi mengajar supaya memuliakan jiran tetangga, Rasulullah bersabda:" sesiapa yang beriman pada ALLAH dan hari akhirat, maka muliakanlah jiran tetangganya."

Seketika itu, si jiran terus mengucapkan dua kalimat syahadah. Dia dan seluruh keluarganya memeluk Islam.

Subhanallah, kerana setia mengamalkan sunnah Rasulullah dan berakhlak seperti Rasulullah, jiran Nasrani itu diberi hidayah oleh ALLAH untuk memeluk agama Islam.


http://hambapadapencipta.blogspot.com/

KISAH HASAN AL-BASRI (3)

Kisah Hasan al-Basri Membantu Pencuri
 
Teringat kisah Imam Hasan Al-Basri yang membantu seorang pencuri yang mencuri barang dirumahnya sendiri..suatu hari, seorang pencuri datang ke sebuah rumah untuk mencuri, tiba-tiba masuk seorang hamba Allah yang datang menolong pencuri tersebut, pencuri kedua itu mengatakan kepada pencuri pertama bahawa didalam almari itu mempunyai lagi banyak pakaian, maka seronoklah pencuri pertama kerana malam itu dia berjaya mendapat barang curian yang banyak berbanding hari biasa, maka pencuri tersebut membawa barang - barang curian itu ke rumahnya dibantu oleh pencuri kedua yang sudah berusia itu, apabila sampai dirumah pencuri pertama tadi, dia terkejut kerana pencuri kedua tidak meminta sedikit pun harta curian bahkan pencuri kedua memberitahu bahawa dia telah berusia dan tidak memerlukan harta curian tersebut..

maka hari esoknya, kecohlah penduduk Kota Baghdad menceritakan perihal rumah Imam Hasan Al-Basri dimasuki pencuri, pencuri pertama tadi rasa bersalah kerana telah mencuri barang-barang dari seorang ulama terkenal, atas perasaan bersalah, dia ingin memulangkan kembali barang-barang tersebut.. apabila sampai sahaja dirumah tuan empunya barang, pencuri pertama sangat terkejut kerana orang yang membuka pintu rumah tersebut adalah pencuri kedua yang membantunya malam tersebut..rupa-rupanya pencuri kedua itu adalah tuan rumah dan namanya Imam Hasan Al-Basri.

Kemudaian Imam Hasan Al-Basri berkata yang bermaksud" Jika Allah SWT telah menetapkan rezeki untuk kita, maka sesungguhnya seorang pencuri pun tidak mampu untuk menarik rezeki tersebut daripada kita"

maka insaflah dan bertaubatlah pencuri tersebut atas perbuatannya yang lalu..

kesimpulan yang aku nak buat kat sini : Imam Hasan Al-Basri memiliki ilmu yang tinggi, seorang ulama terkenal tapi beliau tidak riya' dengan ilmunya bahkan akhlaknya juga mulia kerana berupaya membimbing ramai orang termasuk seorang pencuri..Usah dibangga dengan ilmu yang dimiliki kera ingatlah kita bahawa ilmu Allah itu sangat sangat luas, bahkan kalau semua lautan dijadikan dakwat dan digandakan tujuh, maka itu tidak cukup untuk menulis semua ilmu-ilmu Allah SWT...

Jadilah pencinta ilmu yang sentiasa menuntut ilmu..
 

KISAH HASAN AL-BASRI (2)

Kisah Hasan al-Basri dan Wanita Cantik
 
HASAN AL-BASRI pada zaman mudanya, kelihatan bagus dan tampan, lebih-lebih apabila memakai pakaian yang mahal. Beliau sering berjalan-jalan sekeliling kampung di kota Basrah kerana sangat senang kerana keindahan dan ramainya penduduk tinggal di kota itu.

Pada suatu hari, ketika Hasan berjalan, secara tiba-tiba beliau melihat seorang wanita cantik. Melihat wanita cantik itu, Hasan lalu berjalan mengikutinya. Wanita itu menoleh, sambil berkata kepadanya: "Apakah engkau tidak malu?" Jawab Hasan: "Malu pada siapa?" Wanita itu berkata: "Malu kepada Zat Yang Maha Mengetahui, mata yang khianat dan apa-apa yang terlintas di dalam hati."

Tertanam rasa cinta di dalam hati Hasan terhadap wanita itu sehingga tidak sabar dan tidak boleh menguasai nafsunya. Akhirnya ia terus mengikuti di belakang wanita itu. Wanita itu berkata lagi kepadanya: "Mengapa engkau mengikuti aku?" Jawab Hasan: "Sungguh, aku terpesona dengan pandangan matamu itu." Wanita itu berkata: "Tunggulah di sini, nanti akan aku kirim apa yang engkau kehendaki." Hasan beranggapan wanita itu menaruh cinta kepadanya, sebagaimana dia jatuh cinta kepada wanita itu. Beliau pun menunggu di tempat itu.

Tidak beberapa lama kemudian, datanglah seorang pelayan wanita itu kepadanya membawa bekas bertutup sehelai sapu tangan. Ketika Hasan membuka tutup bekas itu, ternyata dua mata wanita itu ada di dalamnya. Melihat hal sedemikian, maka pelayan tersebut berkata: "Sungguh tuan puteri berkata: "Aku tidak ingin mata yang memuatkan fitnah dan mempesonakan orang." Sebaik Hasan mendengar kenyataan ucapan daripada pelayan wanita itu, dia gementar dan berdiri bulu romanya, lalu memegang janggutnya dan berkata kepada dirinya: "Celaka engkau, sebab sudah berjanggut mengapa tidak malu terhadap wanita cantik itu." Dia pun menyesal dan bertaubat pada saat itu sebelum pulang ke rumahnya dan menangis semalaman.

Keesokan paginya, Hasan ke rumah wanita itu untuk meminta maaf atas segala kesalahannya. Sebaik tiba di rumah wanita berkenaan, rumahnya tertutup dan mendengar suara tangisan wanita dari dalam rumah itu. Akhirnya, beliau pun bertanya apa yang berlaku. Dikatakan bahawa pemilik rumah itu telah meninggal dunia. Hasan kembali ke rumahnya dan menangis selama tiga hari. Pada malam ketiga, dia bermimpi melihat wanita cantik itu sedang berada di dalam syurga. Hasan berkata kepada wanita itu dalam mimpiya: "Hai wanita yang cantik, maafkan olehmu semua kesalahanku." Jawab wanita itu: "Sungguh, semua sudah kumaafkan kerana aku memperoleh kebaikan daripada Allah sebab engkau."

Hasan berkata: "Berikanlah kepadaku akan nasihatmu." "Kalau engkau sendirian, berzikirlah atau ingatlah kepada Allah. Dan pada setiap pagi mahupun petang, beristighfar memohon ampun kepada Allah serta bertaubat kepadaNya," kata wanita berkenaan. Mendengar nasihat daripada wanita itu, Hasan menerima dan melaksanakan nasihat tersebut sehingga dia menjadi seorang Sufi yang masyhur di kalangan masyarakat dengan sifat zuhud dan taatnya kepada Allah SWT. Akhirnya, dia pun memperoleh darjat yang tinggi dan mulia serta menjadi seorang wali dan kekasih Allah SWT.

http://tigosotigo.blogspot.com/

KISAH HASAN AL-BASRI (1)

Kisah Hasan Al-Basri Dan Penyembah Api
 
Hasan mempunyai jiran yang bernama Simeon, seorang penyembah api. Suatu hari Simeon jatuh sakit dan ajalnya hampir tiba. Sahabat-sahabat meminta agar Hasan sudi mengunjunginya. Akhirnya Hasan pun mendapatkan. Simeon yang terbaring di tempat tidurnya dan badannya telah hitam disebabkan api dan asap.

"Takutlah kamu kepada Allah," Hasan menasihat. "Engkau telah mensia-siakan seluruh usiamu di tengah-tengah api dan asap."
 
"Ada tiga perkara yang telah menghalangku untuk menjadi seorang muslim. Pertama adalah kenyataan walaupun kamu semua membenci dunia tapi Siang dan malam mengejar harta kekayaan.
 
Kedua, kamu semua mengatakan bahawa mati adalah suatu kenyataan yang harus dihadapi namun tidak bersedia untuk meng hadapinya.

Ketiga, kamu semua mengatakan bahawa wajah Allah akan dilihat, namun hingga saat ini masih melakukan segala yang tidak diredhai-Nya," jawab Simeon penyembah api.

"Inilah ucapan dari manusia-manusia yang sungguh­ sungguh mengetahui. Jika setiap muslim berbuat begitu, apakah yang sepatutnya engkau katakan? Mereka mengakui keesaan Allah sedangkan engkau menyembah api selama tujuh puluh tahun, dan aku tidak pernah berbuat seperti itu. Jika kita sama-sama terseret ke neraka, api neraka akan membakar dirimu dan diriku.

Tetapi jika diizinkan Allah, api tidak akan berani menghanguskan walau sehelai rambut pada tubuhku. Ini disebabkan api diciptakan Allah dan segala ciptaan-Nya tunduk kepada perintah-Nya. Walaupun engkau menyembah api selama tujuh puluh tahun, marilah kita bersama-sama menaruh tangan kita ke dalam api agar engkau dapat menyaksikan sendiri betapa api itu sesungguhnya tidak berdaya dan betapa Allah itu. Maha Kuasa," jawab Hasan.

Setelah berkata demikian Hasan memasukkan tangannya ke dalam api. Namun sedikit pun tidak cedera atau terbakar. Melihatkan hal itu Simeon merasa hairan. Suatu ilmu telah diketahuinya.

"Selama tujuh puluh tahun aku telah menyembah api, kini hanya dengan satu atau dua helaan nafas saja yang tinggal, apakah yang harus kulakukan?" Simeon mengeluh.

"Jadilah seorang muslim," jawab Hasan.

"Jika engkau memberiku jaminan bahawa Allah tidak akan menghukum diriku, barulah aku menjadi muslim. Tanpa jaminan itu aku tidak mahu memeluk agama Islam," kata Simeon.

Hasan segera membuat satu surat jaminan.

Ramai orang-orang yang jujur di kota Basrah memberi kesaksian mereka di atas surat jaminan tersebut. Simeon menitiskan air mata dan menyatakan dirinya sebagai seorang muslim. Kepada Hasan ia berwasiat, "Setelah aku mati, mandikanlah aku dengan tanganmu sendiri, kuburkanlah aku dan selitkan surat jaminan ini di tanganku. Surat ini akan menjadi bukti bahawa aku adalah seorang muslim."

Setelah berwasiat demikian, ia mengucap dua kalimah syahadat dan menghembuskan nafasnya yang terakhir. Mereka memandikan mayat Simeon, men solatkannya dan menguburkannya dengan surat jaminan di tangannya. Di malam harinya Hasan berbaring sambil merenungi apa yang telah di lakukannya itu. "Bagaimana aku dapat menolong seseorang yang sedang tenggelam sedang aku sendiri dalam keadaan yang serupa. Aku sendiri tidak dapat menentukan nasibku, tetapi mengapa aku berani me mastikan apa yang akan dilakukan oleh Allah?"

Dalam keadaan memikirkan hal itu, Hasan terlena. Ia bermimpi bertemu dengan Simeon, wajah cerah dan bercahaya seperti sebuah pelita; di kepalanya ada sebuah mahkota. Ia memakai sebuah jubah yang indah dan sedang berjalan-jalan di taman syurga.

"Bagaimana keadaanmu Simeon?" Tanya Hasan kepadanya.

"Mengapakah engkau bertanya padahal kau menyaksikan sendiri? Allah Yang Maha besar dengan segala kemurahan-Nya telah menghampirkan diriku kepada-Nya dan telah memperlihatkan wajah-Nya kepadaku. Pemberian yang dilimpahkan-Nya kepada ku melebihi segala-galanya. Engkau telah memberi ku surat jaminan,terimalah kembali surat jaminan ini kerana aku tidak memerlukannya lagi," jawab Simeon.

Ketika Hasan terbangun ia mendapati surat itu telah berada di tangannya. Hasan berseru, "Ya Allah, aku menyedari bahawa segala sesuatu Engkau lakukan adalah tanpa sebab kecuali kerana kemurahan-Mu semata. Siapakah yang akan tersesat di pintu-Mu? Engkau telah mengizinkan seseorang yang telah menyembah api selama tujuh puluh tahun lamanya untuk menghampiri-Mu, semata-mata kerana sebuah ucapan. Betapakah Engkau akan menolak seseorang yang telah beriman selama tujuh puluh tahun?"

Semoga kita dapat ambil iktibar daripada apa-apa yang baik dalam artikel ini, dan jika terdapat mana-mana kesilapan fakta, jutaan maaf di pohon, dan sama-sama kita perbaiki, inyshaa Allah. Dan segala yang baik itu datangnya daripada Allah, dan yang tidak baik itu hakikatnya dari Allah jua tetapi atas kelemahan saya sebagai makhlukNya. Wallahua'lam...

http://cahayamukmin.blogspot.com/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGUNJUNG