Kisah Hasan al-Basri dan Wanita Cantik
HASAN AL-BASRI pada zaman mudanya, kelihatan bagus dan
tampan, lebih-lebih apabila memakai pakaian yang mahal. Beliau sering
berjalan-jalan sekeliling kampung di kota Basrah kerana sangat senang kerana
keindahan dan ramainya penduduk tinggal di kota itu.
Pada suatu hari, ketika Hasan berjalan, secara tiba-tiba
beliau melihat seorang wanita cantik. Melihat wanita cantik itu, Hasan lalu
berjalan mengikutinya. Wanita itu menoleh, sambil berkata kepadanya: "Apakah engkau tidak malu?" Jawab Hasan:
"Malu pada siapa?" Wanita itu
berkata: "Malu kepada Zat Yang Maha Mengetahui,
mata yang khianat dan apa-apa yang terlintas di dalam
hati."
Tertanam rasa cinta di dalam hati Hasan terhadap wanita itu
sehingga tidak sabar dan tidak boleh menguasai nafsunya. Akhirnya ia terus
mengikuti di belakang wanita itu. Wanita itu berkata lagi kepadanya: "Mengapa engkau mengikuti aku?" Jawab Hasan:
"Sungguh, aku terpesona dengan pandangan matamu
itu." Wanita itu berkata: "Tunggulah di sini, nanti akan aku kirim apa yang engkau
kehendaki." Hasan beranggapan wanita itu menaruh cinta kepadanya,
sebagaimana dia jatuh cinta kepada wanita itu. Beliau pun menunggu di tempat
itu.
Tidak beberapa lama kemudian, datanglah seorang pelayan
wanita itu kepadanya membawa bekas bertutup sehelai sapu tangan. Ketika Hasan
membuka tutup bekas itu, ternyata dua mata wanita itu ada di dalamnya. Melihat
hal sedemikian, maka pelayan tersebut berkata: "Sungguh tuan puteri berkata:
"Aku tidak ingin mata yang memuatkan fitnah dan
mempesonakan orang." Sebaik Hasan mendengar kenyataan ucapan
daripada pelayan wanita itu, dia gementar dan berdiri bulu romanya, lalu
memegang janggutnya dan berkata kepada dirinya: "Celaka engkau, sebab sudah berjanggut mengapa tidak malu
terhadap wanita cantik itu." Dia pun menyesal dan bertaubat pada
saat itu sebelum pulang ke rumahnya dan menangis semalaman.
Keesokan paginya, Hasan ke rumah wanita itu untuk meminta
maaf atas segala kesalahannya. Sebaik tiba di rumah wanita berkenaan, rumahnya
tertutup dan mendengar suara tangisan wanita dari dalam rumah itu. Akhirnya,
beliau pun bertanya apa yang berlaku. Dikatakan bahawa pemilik rumah itu telah
meninggal dunia. Hasan kembali ke rumahnya dan menangis selama tiga hari. Pada
malam ketiga, dia bermimpi melihat wanita cantik itu sedang berada di dalam
syurga. Hasan berkata kepada wanita itu dalam mimpiya: "Hai wanita yang cantik, maafkan olehmu semua
kesalahanku." Jawab wanita itu: "Sungguh, semua sudah kumaafkan kerana aku memperoleh
kebaikan daripada Allah sebab engkau."
Hasan berkata: "Berikanlah
kepadaku akan nasihatmu." "Kalau engkau sendirian, berzikirlah atau ingatlah
kepada Allah. Dan pada setiap pagi mahupun petang, beristighfar memohon ampun
kepada Allah serta bertaubat kepadaNya," kata wanita
berkenaan. Mendengar nasihat daripada wanita itu, Hasan menerima dan
melaksanakan nasihat tersebut sehingga dia menjadi seorang Sufi yang masyhur di
kalangan masyarakat dengan sifat zuhud dan taatnya kepada Allah SWT. Akhirnya,
dia pun memperoleh darjat yang tinggi dan mulia serta menjadi seorang wali dan
kekasih Allah SWT.
http://tigosotigo.blogspot.com/
http://tigosotigo.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment